14 May 2016

Rumah (i)


Saya masih lagi mencari cari rumah baru yang aman buat saya.

Adakalanya, saya kembali menjenguk rumah yang saya tinggalkan tak berapa lama dahulu. Kerap kali saya datang mengintai kenangan lama. Saya duduk dihadapan pintu yang berkunci rapat, menunggu hari pemilik rumah nyaman saya kembali menjadikan saya penyewanya, masih.

Suatu hari yang lainnya, saya datang kembali dengan niat yang sama, cuma kali ini kerana rasa terlalu ingin tahu, saya mencuri lihat ke bahagian dalam rumah melalui ruang rompongnya.

Pemiliknya sudah ketemu penyewa baru barangkali. Penyewa baru kelihatan berminat dengan rumah usang tempat saya berteduh dahulu. Dan pemilik rumah seperti mengalu-alukan kedatangan penyewa baru, tidak seperti saya. Barangkali, ini semua kerana penyewa baru lebih menerima keadaan rumah yang sedia ada, sedang saya lebih selesa hidup dengan cara saya. Biar aspal bocor, cat pudar, lantai pecah, dia senang dengan keadaan rumah, sedia ada.

Selepas dari itu, saya nekad untuk pergi. Dari satu rumah ke rumah yang lain, saya rasa lebih baik tidak berumah daripada berteduh di tempat yang tak bersesuaian dengan jiwa saya. Saya penat, Tuhan, keluh saya berkali-kali.

Dalam perjalanan bertemu rumah idaman. Saya terus terusan mencari Tuhan yang tidak berumah, saya melalui lorong lorong sempit bertulis "Jalan Singkat Menuju Tuhan". Bila bila saya terdesak dan kesakitan, ada ketikanya, ingin sekali saya melalui lorong yang sama. Saya terlalu ingin bertemu Tuhan. Saya tak betah hidup kepenatan di jalan yang tak saya ketahui di mana penghujungnya. Tapi saya sedar akan bahaya yang menunggu saya di lorong kelam itu. Sekali melangkah, takkan ada jalan kembali. Saya tidak ingin berhadapan dengan Tuhan yang murka.

Jadi, setiap hari saya teruskan perjalanan berbekalkan janji janji dari Tuhan. Dan hari ini, saya masih lagi berjalan. Tuhan menolak saya dari belakang. Ritual hari saya bermula dengan berterima kasih atas nikmat kurnia Tuhan dan tidur menghadap langit meneliti setiap isi alam. Sayangnya, selama saya tinggal di rumah lama, saya terlalu taksub dengan rumah saya dan seisinya. Rupanya, ada sisi lain kehidupan yang belum sempat saya amati.

Mungkin ini salah satu cara Tuhan untuk sedarkan saya, buka mata saya. Kehidupan saya tidak hanya berumah di suatu tempat. Perpindahan adalah cara untuk saya lihat alam dengan mata hati.

Sekarang saya sedar, di pinggir malam yang mati, Tuhan tak pernah meninggal.


No comments: